UPM Institutional Repository

Analisis sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah daripada perspektif teknologi prestasi manusia


Citation

Mohamad, Nor Sakinah (2012) Analisis sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah daripada perspektif teknologi prestasi manusia. PhD thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Teknologi Pendidikan sentiasa memberikan penumpuan terhadap usaha penambahbaikan prestasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Secara khusus, subbidang Teknologi Prestasi Manusia memberi penekanan ke arah menyelesaikan masalah prestasi melalui penggunaan perspektif pemikiran bersistem. Justeru kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti elemen yang terdapat dalam lima komponen utama sistem pengajaran dan pembelajaran serta bagaimana elemen dalam komponen tersebut saling berinteraksi antara satu sama lain. Lima komponen dalam sistem pengajaran dan pembelajaran tersebut terdiri daripada hala tuju, proses, persekitaran sokongan, persekitaran maklum balas dan hasil. Dalam konteks ini, kajian ditumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran matematik di sekolah menengah. Secara khusus, objektif kajian ini adalah untuk (a) mengenal pasti elemen dalam setiap komponen sistem pengajaran dan pembelajaran matematik, (b) meneliti persamaan dan perbezaan elemen dalam setiap sistem pengajaran dan pembelajaran matematik dalam kalangan guru matematik (c) mengenal pasti interaksi antara elemen dalam sistem pengajaran dan pembelajaran matematik. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang melibatkan sembilan orang guru Matematik dan Matematik Tambahan serta sembilan orang pelajar. Mereka dipilih daripada empat jenis sekolah menengah di daerah Klang dan Hulu Langat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Berasrama Penuh. Data dikumpul menggunakan temu bual mendalam dan pemerhatian. Data yang diperolehi seterusnya telah dianalisis menggunakan kaedah perbandingan berterusan. Hasil analisis menunjukkan bahawa terdapat satu elemen dalam komponen hala tuju sistem pengajaran dan pembelajaran iaitu ianya berorientasikan peperiksaan. Seterusnya, terdapat enam elemen dalam komponen proses sistem pengajaran dan pembelajaran iaitu reka bentuk pengajaran, pengurusan bilik darjah, pemantauan,pentaksiran dan penilaian, guru, pelajar dan kurikulum. Selanjutnya, terdapat lima elemen dalam komponen persekitaran sokongan sistem pengajaran dan pembelajaran iaitu pengurusan / pentadbir, pengajaran / pembelajaran, infrastruktur / kemudahan,pelajar / guru / ibu bapa / masyarakat dan teknologi. Seterusnya, terdapat dua elemen dalam komponen persekitaran maklum balas iaitu pengajaran / pembelajaran dan pemantauan / pentaksiran / penilaian. Akhirnya, terdapat dua elemen dalam komponen hasil sistem pengajaran dan pembelajaran iaitu prestasi guru dan prestasi pelajar. Setiap elemen ini pula mengandungi beberapa sub-elemen yang memperincikan lagi ciri setiap komponen. Dari segi persamaan elemen dalam sistem pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru matematik, didapati elemen dalam komponen hala tuju sistem pengajaran dan pembelajaran bagi setiap guru adalah berorientasikan peperiksaan. Sebaliknya, elemen dalam empat komponen utama lain menunjukkan perbezaan yang ketara disebabkan pengaruh konteks ke atas guru dan pengajarannya. Namun,perbezaan tersebut kelihatan masih menjurus ke arah memenuhi elemen dalam komponen hala tuju sistem pengajaran dan pembelajaran yang sama iaitu berorientasikan peperiksaan. Selanjutnya, kajian ini mendapati wujud perkaitan di antara lima komponen utama dalam setiap sistem pengajaran dan pembelajaran guru matematik yang dikaji. Perkaitan ini menjelaskan sebab-sebab yang membataskan prestasi Matematik di sekolah menengah. Dapatan kajian ini membawa implikasi bahawa bagi mengatasi masalah prestasi dalam pengajaran dan pembelajaran, adalah penting pengajaran dan pembelajaran tersebut dilihat dan difahami secara mendalam sebagai satu sistem yang menyeluruh.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2012 85R.pdf

Download (1MB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (PhD)
Subject: Study and teaching (Secondary)
Subject: Performance technology
Subject: Educational technology - Malaysia
Call Number: FPP 2012 85
Chairman Supervisor: Prof. Wan Zah Wan Ali, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 17 Oct 2016 07:19
Last Modified: 17 Oct 2016 07:19
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/48722
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item