UPMKB lancar Program Persediaan Diploma sebagai peluang pendidikan alternatif

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) UPMKB lancar Program Persediaan Diploma sebagai peluang pendidikan alternatif.

[img] PDF
133Kb

Abstract

BINTULU, 14 April– Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) melancarkan Program Persediaan Diploma sebagai laluan alternatif kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf yang tidak memenuhi syarat ke program Diploma. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melihat penawaran program itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyediakan peluang pendidikan berkualiti yang lebih luas kepada rakyat Sarawak dan Sabah. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peluang laluan alternatif kepada pelajar yang mempunyai kebolehan dan bakat dalam bidang pertanian itu merupakan CSR UPM membangunkan anak bangsa yang kurang bernasib baik. “Pelajar yang bakal mengikuti program ini adalah mereka yang berlatarbelakangkan sekolah yang serba kekurangan dari segi kemudahan sehingga menjejaskan pencapaian tahap pendidikan yang cemerlang seperti pelajar di bandar. “Program persediaan ini juga memperbaiki kelemahan pelajar terpilih dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris selama dua semester sebelum mereka layak ke peringkat Diploma,” katanya semasa melancarkan Program Persediaan Diploma dan perasmian Dewan Sri Kenyalang di UPMKB di sini. Khaled yakin Program Persediaan Diploma itu berupaya meningkatkan peratusan bawah 10 peratus pelajar Sarawak dan Sabah di UPMKB. Beliau berkata KPT memberi autonomi kepada UPM mengambil pelajar bagi program-program Diploma dalam bidang pertanian tanpa perlu melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) untuk mengenalpasti calon yang berminat dalam bidang pertanian dan mengatasi isu kekurangan permohonan program itu. "Ia bukan untuk melahirkan petani atau penternak moden yang mempunyai diploma atau ijazah semata-mata tetapi memperlihatkan program profesional dalam bidang pertanian meliputi pelbagai aspek seperti sains, teknologi, alam sekitar dan perniagaan. "Bagaimanapun pertimbangan ini bergantung kepada UPM membuat perubahan terhadap struktur organisasi termasuk membuat peluasan dengan membuka penyertaan kepada pelajar antarabangsa dalam bidang itu," katanya. Sementara itu Naib Canselor UPM, Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perubahan struktur organisasi secara berperingkat-peringkat dan proses pengambilan pelajar secara langsung (tanpa melalui UPU) akan dilakukan secara menyeluruh di UPM menjelang awal tahun depan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh KPT. Beliau turut menyifatkan program itu merupakan platform terbaik bagi menyambung pengajian ke peringkat Diploma dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi. "Program ini berkonsepkan 'UPM Care' yang menterjemahkan keupayaan strategik universiti menggarap pelbagai kepakaran dan ilmu untuk membangunkan masyarakat, khasnya kepada pelajar Sarawak dan masyarakat setempat," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran. Beliau berkata UPM mensasarkan seramai 80 pelajar akan mengikuti satu sesi pengajian Program Persediaan Diploma dengan pengambilan pelajar pertama program itu akan dibuat pada Jun ini. Lepasan Program Persediaan Diploma di UPMKB berpeluang ditawarkan pengajian peringkat Diploma seperti Diploma Pertanian, Diploma Perhutanan, Diploma Pengurusan Perladangan Makanan dan Diploma Perniagaan Tani. Majlis dihadiri oleh Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Negeri Sarawak, Datuk Talib Zulpilip, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi yang juga Ahli Lembaga Pengarah UPM, Datuk Rohani Abdullah dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris. Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPMKB, Prof. Dr. Japar Sidik Bujang berkata Dewan Sri Kenyalang yang dirasmikan pada majlis yang sama itu bukan sahaja digunakan untuk urusan akademik , pameran, seminar dan aktiviti pelajar tetapi akan menjadi tempat aktiviti masyarakat sebagai medan interaksi antara warga kampus dengan masyarakat setempat. Dewan itu merupakan satu daripada empat projek pembangunan UPMKB dalam Rancangan Malaysia Kesembilan berkapasiti 1,400 tempat duduk dan mempunyai bentuk menyerupai burung Kenyalang.

Item Type:UPM News
ID Code:4668
Deposited By: Mohd Dasuki Sahak
Deposited On:19 Apr 2011 08:04
Last Modified:27 May 2013 07:17

Repository Staff Only: item control page

Document Download Statistics

This item has been downloaded for since 19 Apr 2011 08:04.

View statistics for "UPMKB lancar Program Persediaan Diploma sebagai peluang pendidikan alternatif "


Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository is an on-line digital archive that serves as a central collection and storage of scientific information and research at the Universiti Putra Malaysia.

Currently, the collections deposited in the IR consists of Master and PhD theses, Master and PhD Project Report, Journal Articles, Journal Bulletins, Conference Papers, UPM News, Newspaper Cuttings, Patents and Inaugural Lectures.

As the policy of the university does not permit users to view thesis in full text, access is only given to the first 24 pages only.