Keyword Search:


Bookmark and Share

Pengetahuan, sikap dan amalan dari persepsi guru dalam pengajaran kontekstual bagi matapelajaran prinsip elektrik dan elektronik di sekolah menengah teknik Malaysia

Abd Wahab, Idayati (2012) Pengetahuan, sikap dan amalan dari persepsi guru dalam pengajaran kontekstual bagi matapelajaran prinsip elektrik dan elektronik di sekolah menengah teknik Malaysia. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

[img] PDF
1051Kb

Abstract

Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti pengetahuan, amalan, sikap dan masalah dari persepsi guru dalam pengajaran kontekstual bagi mata pelajaran Prinsip Elektrik dan Elektronik. Pengetahuan, amalan, sikap dipilih kerana berdasarkan hasil pemantauan Bahagian Kurikulum Teknik dan Vokasional mendapati bahawa guru masih kurang pengetahuan tentang konsep pendekatan kontekstual. Di samping itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti perbezaan dan hubungan tentang pengajaran kontekstual dengan pembolehubah yang dikaji. Persampelan rawak mudah digunakan untuk memilih 193 orang responden daripada Sekolah Menengah Teknik di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Daripada 210 soalan yang telah diedarkan, 180 orang responden telah memberi maklum balas. Pemilihan sampel dilakukan dengan membuat cabutan nombor secara rawak. Soal selidik telah digunakan sebagai instrumen kajian untuk mengumpul data manakala statistik deskriptif dan inferensi digunakan untuk menganalisis data kajian. Instrumen pengetahuan, amalan dan sikap dibina berdasarkan kepada komponen REACT (relating, experiencing, applying, cooperation and transferring) dalam pengajaran kontekstual. Analisis deskriptif menunjukkan bahawa tahap pengetahuan guru adalah tinggi dari aspek mengaplikasi dan mengalami, manakala amalan pengajaran kontekstual yang paling kerap diamalkan adalah aspek mengaplikasi dan memindahkan. Sementara itu, guru menunjukkan sikap yang positif terhadap pengajaran kontekstual dalam mata pelajaran Prinsip Elekrik dan Elektronik. Masalah utama yang dihadapi oleh guru adalah banyak masa diperlukan untuk menghabiskan sukatan pelajaran, penilaian berasaskan sekolah dan menyelenggara peralatan. Seterusnya, hasil kajian ini menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara amalan pengajaran kontekstual guru dari segi jantina. Terdapat hubungan positif yang kuat dan signifikan antara amalan pengajaran kontekstual dengan sikap guru terhadap pengajaran kontekstual dan antara amalan pengajaran kontekstual dengan pengetahuan guru tentang pengajaran kontekstual. Dapatan kajian juga menunjukkan terdapat hubungan signifikan dan lemah antara amalan pengajaran kontekstual dengan umur dan antara amalan pengajaran kontekstual dengan pengalaman. Beberapa cadangan telah dikemukakan, antaranya ialah pendekatan kontekstual perlu diteruskan khususnya dalam mata pelajaran teknikal. Bagaimanapun kursus atau latihan berkaitan pendekatan kontekstual khususnya berkaitan dengan aspek REACT perlu diberi perhatian. Selain itu, kursus jangka pendek perlu disediakan untuk guru bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi semasa. Sehubungan itu, peralatan dan bahan pembelajaran perlulah terkini dan mengikut kehendak industri.

Item Type:Thesis (Masters)
Subject:Teachers - Malaysia - Attitudes
Subject:Technical education - Malaysia
Subject:Electronics - Study and teaching (Secondary) - Malaysia
Chairman Supervisor:Profesor Madya Ramlah Bt Hamzah, PhD
Call Number:FPP 2013 12
Faculty or Institute:Faculty of Educational Studies
ID Code:39761
Deposited By: Haridan Mohd Jais
Deposited On:21 Jan 2016 08:48
Last Modified:21 Jan 2016 08:48

Repository Staff Only: Edit item detail