UPM Institutional Repository

Tahap penguasaan proses sains dan sikap guru serta halangan dalam pengajaran kemahiran saintifik bagi mata pelajaran sains pertanian


Citation

Sulaiman, Suziana (2012) Tahap penguasaan proses sains dan sikap guru serta halangan dalam pengajaran kemahiran saintifik bagi mata pelajaran sains pertanian. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Kepentingan penguasaan kemahiran saintifik telah diterima sebagai satu cara untuk meningkatkan kualiti pendidikan sains negara. Pelajar yang mengambil elektif yang melibatkan sains perlu menguasai kemahiran ini secara mendalam kerana mereka dijangka akan menceburi bidang berteraskan sains dan teknologi yang sememangnya memerlukan penguasaan kemahiran saintifik. Namun tahap penguasaan kemahiran saintifik ini masih berada pada tahap yang sederhana. Tahap penguasaan yang sederhana ini mengundang satu fenomena yang tidak baik di dalam mata pelajaran itu sendiri. Justeru itu, guru memainkan peranan yang penting untuk menerapkan kemahiran saintifik di kalangan pelajar. Namun begitu, masalah ini wujud apabila tahap penguasaan kemahiran proses sains guru juga rendah. Sikap negatif guru itu sendiri juga turut menyebabkan punca kesukaran untuk menerapkan kemahiran saintifik ini di kalangan pelajar. Selain itu, halangan seperti kekurangan bahan bantu mengajar yang sesuai untuk pengajaran yang melibatkan kemahiran saintifik juga menjadi faktor yang menyebabkan tahap penguasaan kemahiran saintifik ini belum berada pada tahap yang diharapkan. Maka kajian berbentuk tinjauan ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti tahap penguasaan kemahiran proses sains, sikap guru tentang pengajaran kemahiran saintifik, halangan dalam pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik serta tahap pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik dalam kalangan guru Sains Pertanian di Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Teknik seluruh Malaysia. Populasi kajian terdiri daripada 469 orang guru yang mengajar mata pelajaran Sains Pertanian seluruh Malaysia. Responden kajian terdiri daripada 211 orang guru Sains Pertanian di Malaysia. Pemilihan responden adalah secara rawak berlapis. Instrumen yang digunakan untuk mendapatkan data adalah berbentuk soal selidik yang diadaptasi dan diubahsuai daripada kajian-kajian lepas. Kebolehpercayaan instrumen ialah antara .744 hingga .944. Ujian kemahiran proses sains dijalankan bagi menguji tahap penguasaan guru Sains Pertanian dalam lima aspek kemahiran proses sains yang digunakan dalam mata pelajaran Sains. Data telah dikumpul menggunakan soal selidik yang telah diposkan kepada respondan kajian dan diproses menggunakan program SPSS. Statistik deskriptif digunakan untuk menganalisis data seperti peratus, frekuensi, min dan sisihan piawai bagi setiap item. Statistik inferensi yang digunakan untuk menganalisis data ialah ujian-t, ANOVA dan ujian kolerasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan kebanyakan guru Sains Pertanian menguasai kemahiran proses sains (68.2%). Skor kemahiran yang paling tinggi ialah kemahiran mentafsir maklumat (83.2%) dan kemahiran yang paling rendah ialah kemahiran mendefinisi secara operasi (64.2%). Guru Sains Pertanian bersikap positif tentang pengajaran kemahiran saintifik dengan min keseluruhan ialah 3.72. Penghalang utama yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan proses sains disebabkan oleh ketiadaan pembantu makmal Sains Pertanian (min=4.11), beban tugas untuk program sekolah yang banyak (min=3.72) dan kekurangan peralatan untuk internet dan komputer min=3.55). Secara keseluruhannya halangan yang dihadapi oleh guru Sains Pertanian dalam pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik adalah berada pada tahap kurang menghalang dengan min iaitu 2.89 dan sisihan piawai ialah 0.54. Bagi tahap pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik guru Sains Pertanian pula berada pada tahap sangat kerap dengan min 3.96. Terdapat perbezaan yang signifikan skor tahap penguasaan kemahiran proses sains bagi mereka yang pernah dan tidak pernah mengajar mata pelajaran sains (t=-3.572, p<.05). Terdapat hubungan positif yang sederhana dan signifikan antara sikap guru tentang pengajaran kemahiran saintifik dengan tahap pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik (r =.545, p<.05). Terdapat hubungan negatif yang lemah dan signifikan antara halangan yang dihadapi oleh guru dengan tahap pelaksanaan pengajaran kemahiran saintifik (r =-.316, p<.05). Kesimpulannya, pihak yang bertanggungjawab dengan program latihan dan pembangunan profesionalisme guru harus merancang dan melaksanakan lebih banyak kursus dalam perkhidmatan untuk meningkatkan tahap pencapaian dan penguasaan kemahiran saintifik. Di samping itu, dapatan kajian dapat digunakan oleh semua pihak untuk membuat perancangan dan melakukan penambahbaikan dalam pengajaran yang melibatkan kemahiran saintifik.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP 2012 55R.pdf

Download (925kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Teachers - Malaysia - Attitudes
Subject: Agriculture - Study and teaching
Subject: Science - Study and teaching
Call Number: FPP 2012 55
Chairman Supervisor: Prof Madya Ramlah Binti Hamzah, PhD
Divisions: Faculty of Educational Studies
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 04 Feb 2015 05:18
Last Modified: 04 Feb 2015 05:18
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/31648
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item