UPM Institutional Repository

Persepsi Guru Terhadap Budaya Sekolah


Citation

Abu Kassim, Hadijah (2011) Persepsi Guru Terhadap Budaya Sekolah. Masters thesis, Universiti Putra Malaysia.

Abstract

Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji budaya sekolah berkesan dan budaya sekolah kurang berkesan mengikut persepsi guru sekolah masing masing. Kajian ini dilakukan atas andaian bahawa semua sekolah menjalankan proses penambahbaikan sekolah dalam usaha mencapai kecemerlangan. Kajian ini menggunakan Model Pembentukan Budaya Sekolah Ke Arah Penambahbaikan Sekolah Cavanagh (1997) yang menekankan enam dimensi budaya sekolah dalam proses penambahbaikan iaitu kepimpinan transformasi, penekanan terhadap pembelajaran, efikasi guru, perkongsian matlamat, kolaborasi dan kesejawatan. Seramai 169 orang guru dipilih secara rawak sebagai sampel kajian. Kajian melibatkan dua jenis sekolah iaitu dua buah sekolah berkesan dan dua buah sekolah kurang berkesan yang dikenalpasti berdasarkan maklumat Kementerian Pelajaran. . Data dianalisis menggunakan analisis deskriptif (min), ujian-t dan korelasi Pearson. Dapatan kajian menunjukkan bahawa semua dimensi budaya sekolah dalam Model Cavanagh diamalkan oleh kedua-dua jenis sekolah yang dikaji. Analisis ujian-t menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan antara persepsi guru sekolah berkesan dan guru sekolah kurang berkesan terhadap budaya sekolah mereka dalam kesemua enam dimensi budaya sekolah yang dikaji. Analisis deskriptif juga menunjukkan budaya sekolah berkesan dan budaya sekolah kurang berkesan mempunyai persamaan tahap dalam lima dimensi budaya sekolah berdasarkan skor min kecuali budaya kepimpinan transformasi. Guru sekolah kurang berkesan mempersepsikan kepimpinan transformasi pengetua mereka pada tahap lebih tinggi berbanding guru di sekolah berkesan yang mempersepsikan kepimpinan transformasi pengetua mereka pada tahap sederhana. Analisis data yang lebih rinci bagaimanapun menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan antara sekolah berkesan dan sekolah kurang berkesan dalam beberapa item kepimpinan transformasi iaitu dalam penekanan birokrasi dan peluang untuk guru bersuara. Manakala untuk dimensi kolaboratif dari segi membimbing rakan sejawat dan bagi dimensi kesejawatan, daripada segi membentuk pasukan kerja yang mantap di sekolah. Untuk item-item tersebut catatan skor min sekolah berkesan lebih rendah secara signifikan berbanding dengan sekolah kurang berkesan. Analisis data bagi mencari perbezaan persepsi guru-guru di sekolah berkesan dan guru-guru di sekolah kurang berkesan terhadap budaya kesejawatan daripada segi memegang jawatan tertentu menunjukkan hanya di sekolah berkesan terdapat perbezaan yang signifikan antara guru memegang jawatan tertentu dengan guru yang tidak, terhadap budaya kesejawatan. Skor min persepsi guru memegang jawatan tertentu lebih rendah berbanding dengan yang tidak. Analisis data korelasi Pearson pula menunjukkan terdapatnya hubungan yang signifikan dan negatif antara beban mengajar dengan persepsi guru terhadap budaya kepimpinan transformasi dan perkongsian matlamat di sekolah berkesan. Namun perkaitan ini tidak terdapat di sekolah kurang berkesan. Dapatan kajian ini membawa beberapa implikasi. Kajian ini menunjukkan bahawa walaupun tidak terdapat perbezaan yang signifikan daripada segi budaya sekolah berkesan dan kurang berkesan namun terdapat perbezaan tertentu yang membawa implikasi kepada peranan pengetua sekolah masing-masing dan kepada penggunaan Model Cavanagh untuk kajian lanjutan berkaitan hal ini. Secara amnya pengetua sekolah berkesan dipersepsi hanya sederhana dalam amalan pimpinan transformasi, lebih pentingkan birokrasi dan lebih autokratik kerana kurang memberi peluang guru bersuara. Sekolah pula kurang memupuk budaya kesejawatan dan kurang berkongsi matlamat dengan guru seperti dipersepsikan guru yang memegang jawatan tertentu. Pendekatan ini mungkin dianggap perlu untuk mempastikan kesinambungan dan penambahbaikan kecemerlangan sekolah berkesan. Bagaimanapun pengetua sekolah berkesan perlu lebih peka kepada beban kerja guru dan sokongan bagi guru yang memegang tanggungjawab tertentu. Pengetua sekolah kurang berkesan pula dipersepsi sebagai tinggi dalam amalan pimpinan transformasi walaupun prestasi akademik pelajarnya adalah rendah. Ini menunjukkan bahawa budaya pimpinan transformasi sahaja tidak menjamin kecemerlangan sekolah yang mempunyai pelajar yang sedia berprestasi rendah dalam akademik. Pengetua sekolah kurang berkesan yang dikaji perlu lebih berpengetahuan dan tegas dalam membimbing sekolah mereka ke arah kecemerlangan dan juga perlu lebih mencari bantuan pelbagai pihak untuk mengubah sekolah mereka ke arah kejayaan. Dapatan ini juga mempunyai implikasi terhadap penggunaan Model Pembentukan Budaya Sekolah Ke Arah Penambahbaikan Sekolah Cavanagh (1997) untuk kajian lanjutan untuk mengenalpasti budaya sekolah yang berbeza tahap keberkesanan. Peranan pengetua sebagai pemimpin transformasi sahaja tidak mampu menjelaskan perbezaan budaya sekolah yang dikaji. Model ini perlu diubahsuai untuk mengkaji perbezaan budaya sekolah berkesan dan yang kurang berkesan supaya dapat membezakan budaya yang terbentuk dalam proses penambahbaikan sekolah tersebut, terutama dalam aspek peranan kepimpinan pengetua.


Download File

[img]
Preview
PDF
FPP_2011_17_IR.pdf

Download (740kB)

Additional Metadata

Item Type: Thesis (Masters)
Subject: Teachers - Case studies
Subject: School environment
Subject: School management and organization
Call Number: FPP 2011 17
Chairman Supervisor: Datin Dr. Sharifah Bt. Md. Nor, Phd
Divisions: Faculty of Educational Studies
Notes: Datin Dr. Sharifah Bt. Md. Nor, Phd
Depositing User: Haridan Mohd Jais
Date Deposited: 26 Jan 2022 04:27
Last Modified: 26 Jan 2022 04:27
URI: http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/20842
Statistic Details: View Download Statistic

Actions (login required)

View Item View Item