Tiga pendekatan hadapi cabaran Pelan Strategik - NC

Universiti Putra Malaysia, Bahagian Komunikasi Korporat (2011) Tiga pendekatan hadapi cabaran Pelan Strategik - NC.

[img] PDF
130Kb

Abstract

SERDANG, 12 April- Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menggunakan tiga pendekatan bagi menghadapi cabaran pelaksanaan Pelan Strategik 2011-2013 UPM. Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, pendekatan itu berasaskan kepada pencapaian UPM dalam Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2011 (SETARA), Sistem Penilaian Universiti Penyelidikan 2011 (MyRA) dan juga University Good Governance Index (UGGI). Beliau berkata, pada penilaian SETARA 2009, UPM bersama 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain berjaya mendapat taraf cemerlang dengan penarafan lima daripada enam bintang. “UPM telah mencapai skor keseluruhan 72.5 peratus dalam penarafan itu. Untuk mencapai taraf enam, UPM memerlukan markah keseluruhan minima 80 peratus. Oleh itu banyak ruang lagi yang perlu diperbaiki,” katanya dalam ucapan perutusan 100 hari Naib Canselor di sini baru-baru ini. Katanya, UPM perlu memantapkan usaha pembangunan pelajar melalui pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL) dan kokurikulum berteraskan hasil pembelajaran. Dalam MyRA pula, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata UPM meletakkan sasaran pencapaian tahun 2011 sebanyak 120 peratus berbanding 109 peratus pada 2009. “Pada tahun 2011, tumpuan perlu diberi kepada proses hasil pengukuran terhadap kualiti serta impaknya terhadap penjanaan kekayaan negara dan kemaslahan manusia,” ujarnya. Melalui pendekatan UGGI pula, beliau berkata ia akan diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama lagi bagi mengukur kesediaan sesebuah universiti kepada autonomi. Katanya, kewujudan UGGI berkait rapat dengan usaha kerajaan bagi memastikan tadbir urus semua IPTA dipertingkatkan terutama dalam menguruskan sumber kewangan. “Pelaksanaan UGGI bakal memperkukuhkan sistem tadbir urus seperti pengauditan dan pemantauan. Ini secara tidak langsung memupuk budaya kerja profesional di UPM dan ia boleh dijadikan landasan bagi menilai status dan tahap yang dicapai oleh UPM. “Justeru kita perlu membuat persediaan agar UPM dapat melalui indeks ini dengan jayanya,” katanya. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar berkata untuk memastikan Pelan Strategik dapat dilaksanakan mengikut perancangan, ia perlu dipantau sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga bulan. Tambahnya untuk menjayakan Pelan Strategik, warga UPM perlu memastikan proses ‘buy in’ berkesan daripada kalangan staf selain faktor kepimpinan yang sentiasa memotivasikan staf mencapai hasrat pelan berkenaan. Beliau berkata perincian Pelan Strategik yang telah memasuki fasa kedua bagi tempoh 2011-2015 perlu memberi perhatian kepada pematuhan Kerangka Kelayakan Malaysia, dasar kebangsaan latihan pelajar dan program bersangkutan pensyarah di universiti. “Ia mengambil kira penambahbaikan kurikulum secara berterusan, kaedah pembelajaran interaktif dan penggunaan bahasa Inggeris diperluaskan, serta kebolehpasaran graduan,” katanya. Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak menjadikan pengurangan bajet daripada kerajaan sebagai alasan membantutkan kemajuan Pelan Strategik UPM. Untuk membolehkan UPM bersaing dengan bajet yang sedia ada, beliau berkata sudah tiba masanya semua warga UPM mengubah paradigma tentang penjanaan sumber kewangan baharu selain agihan bajet yang lebih lestari. Selain itu, beliau menyeru Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Inovasi Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar bersama CADe mentaksir pencapaian pelajar khususnya aspek afektif dan penghayatan nilai yang ingin dicapai. Dalam pembangunan Generic Student Attributes pula, beliau berkata ia perlu tertumpu kepada outcome-based dan bukan lagi bercorak aktiviti supaya ia benar-benar menyumbang kepada pembentukan Generic Student Attributes. Pada majlis yang sama, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar turut melancarkan portal SKT Akademik, Sistem Akauntabiliti Kewangan PTJ, Manual Pelan Pengurusan Bencana, Dasar Hijau dan Tabung Kebajikan Staf.

Item Type:UPM News
ID Code:11786
Deposited By: Muizzudin Kaspol
Deposited On:15 Apr 2011 09:30
Last Modified:27 May 2013 07:49

Repository Staff Only: Edit item detail

Document Download Statistics

This item has been downloaded for since 15 Apr 2011 09:30.

View statistics for "Tiga pendekatan hadapi cabaran Pelan Strategik - NC"


Universiti Putra Malaysia Institutional Repository

Universiti Putra Malaysia Institutional Repository is an on-line digital archive that serves as a central collection and storage of scientific information and research at the Universiti Putra Malaysia.

Currently, the collections deposited in the IR consists of Master and PhD theses, Master and PhD Project Report, Journal Articles, Journal Bulletins, Conference Papers, UPM News, Newspaper Cuttings, Patents and Inaugural Lectures.

As the policy of the university does not permit users to view thesis in full text, access is only given to the first 24 pages only.